40 peratus rakyat Malaysia lengkap divaksinasi menjelang 31 Ogos

18

9 OGOS: Kerajaan menyasarkan 60 peratus individu dewasa atau 40 peratus penduduk Malaysia akan lengkap divaksinasi, menjelang 31 Ogos 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika sesi taklimat diberikan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) pagi tadi.

Muhyiddin berkata perkara itu adalah berita baik bagi rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kebangsaan, pada 31 Ogos nanti.

“Alhamdulillah, proses vaksinasi berjalan mengikut jadual setakat ini. Menjelang 31 Ogos 2021, lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara kita dijangka telah menerima dos lengkap suntikan vaksin.

Kerajaan juga menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia lengkap divaksin pada Oktober ini.

“Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya dalam perkongsiannya di laman Facebooknya sebentar tadi.

Berikutan itu, Muhyiddin berkata kerajaan menjangkakan 100 peratus individu dewasa atau 80 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia keseluruhannya akan lengkap divaksinasi, menjelang bulan Oktober depan.

“Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini.

“Menurut data terkini yang tersedia baik di negara kita atau negara luar, jumlah kes-kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.

“Insya-Allah, kita doakan agar negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera. Amin ya rabbal alamin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.