Kemelut dalaman UMNO buatkan rakyat bosan

21

9 OGOS: Walaupun pucuk pimpinan tidak sehaluan dengan keputusan dan pendirian rakan-rakan dalam kerajaan, imej UMNO tidak harus dipalitkan dengan gambaran ‘pertelagahan elit politik’ sehingga rakyat menjadi bosan.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menegaskan kepimpinan parti tidak boleh lagi mengecilkan kelompoknya, di mana jika berlarutan, UMNO pasti ia akan kehilangan sokongan ahli-ahlinya.

Beliau berkata, imej dan kredibiliti UMNO akan lebih hebat di mata rakyat sekiranya mampu menyelesaikan kemelut dalaman ini dengan baik.

“Watak ugut-mengugut dan tekan-menekan sesama sendiri adalah tidak elok dan mengiyakan lagi persepsi umum bahawa UMNO bersifat ‘abang besar’.

MAT NADZARI

“Mengambil kira kemelut dalaman UMNO hari ini, saya mengajak kawan-kawan semua agar bertenang dan bertindak secara bijaksana, bertindak selari dengan arahan UMNO kepada cawangan-cawangannya dalam fasal 18.12.2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mat Nadzari menegaskan beberapa naratif perlu dilaksanakan lebih-lebih lagi dalam hal menentukan keabsahan tampuk kuasa kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

“Pertamanya, UMNO tidak harus ditafsir melanggar sumpah setianya mengikut fasal 3.3 perlembagaan parti “…mendukung dan mempertahankan Raja Berperlembagaan” dan kebesaran raja-raja yang dikibarkan bersama warna kuning di dalam bendera parti UMNO itu sendiri.

“Kedua, UMNO tidak harus nampak bercanggah dengan fasal 3.2 perlembagaannya untuk mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen. Oleh itu, adalah wajar UMNO bersabar dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong agar keabsahan Perdana Menteri ditentukan oleh Dewan Rakyat pada September ini,” katanya. 

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor berkata, UMNO juga tidak boleh dilihat meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat.

Beliau menjelaskan seharusnya UMNO menyediakan pelan pemulihan hala tuju parti yang bijaksana dengan kerangka dan peranan yang lebih jelas yang mudah difahami, dicontohi dan diikuti serta dilaksanakan mengikut hak-hak ahli dalam perlembagaan UMNO.

“Menteri-menteri UMNO yang terlibat harus diberi masa menyudahkan tanggungjawab untuk rakyat dan negara yang terjejas dengan petaka COVID-19 mengikut lunas-lunas fasal 3.4 dan 6.16 perlembagaan UMNO bahawa rakyat didahulukan.

“Adalah tidak tertib dan gopoh jika menteri-menteri UMNO dalam kabinet kerajaan hari ini meletakkan jawatannya secara ‘abrupt’ dan meninggalkan tugas-tugas penting melawan COVID-19 di atas meja mereka tanpa rasa kebertanggungjawaban.

“Ibarat pepatah, seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak atau seperti memalu ular dalam benih, ular biar mati, benih jangan rosak,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.