Lelaki Kuarantin Di Rumah Ditemui Meninggal Dunia

16

7 OGOS: Seorang lelaki yang menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif wabak COVID-19 ditemui meninggal dunia, malam tadi.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh adiknya sebelum menghubungi pihak bomba untuk tujuan mengangkat mayat keluar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.26 malam dan sepasukan anggota ke rumah mangsa yang terletak di Taman Indah Jaya.

Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah teres dua tingkat dalam keadaan tidak sedarkan diri disyaki meninggal dunia.

“Anggota bertugas bertindak mengangkat mayat keluar dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. 

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dijangkiti wabak COVID-19 daripada dua lagi adiknya yang turut tinggal bersama di rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Hafisham memaklumkan mangsa diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah selepas didapati positif wabak berkenaan menerusi ujian saringan yang dilakukan pada 29 Julai lalu.

“Pada hari kejadian, mangsa dikatakan meracau dan sukar bernafas sekitar jam 5.30 pagi. Pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari, adik mangsa mengejutkannya untuk memesan makanan dan mendapati dia sudah tidak sedarkan diri serta disyaki meninggal dunia. 

“Hasil siasatan turut mendapati mangsa berkenaan tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit lampau,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.