Konflik UMNO gugat perpaduan politik Melayu

66

7 OGOS: Negara sedang berhadapan musuh yang tidak kelihatan. Lebih tepat lagi, kita sedang berperang. Ya, peperangan melawan virus yang semakin mengganas. Yang tiada belas kasihan.

Musuh dalam perang ini tidak kelihatan dengan mata kasar tetapi kita semua berdepan risiko menjadi mangsa.

Namun semenjak dua tiga hari ini. Ada  beberapa pemimpin dari parti UMNO telah mengutuskan surat peletakan jawatan sebagai menteri. Tidak kurang juga ada yang meletak jawatan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Umum mengetahui bahawa UMNO (atau lebih tepat lagi sebahagian pimpinan utama UMNO) tidak puas hati bukanlah kerana pembahagian jawatan tetapi lebih kepada kepentingan peribadi kepimpinan utama UMNO yang terlibat dengan kes-kes mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (depan, tengah) dan barisan pemimpin Barisan Nasional menyatakan komitmen untuk meneruskan tugas-tugas mereka dalam kerajaan di Kuala Lumpur semalam.

Bayangkanlah dengan pasukan barisan hadapan kita yang berhempas pulas siang dan malam menghadapi penularan wabak ini.

Mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab pula bertindak meninggalkan jawatan pada waktu sukar semata-mata atas alasan bermotifkan politik dan membelakangkan kepentingan rakyat.

Adakah parti UMNO sudah tidak dapat diselamatkan lagi sehingga dilihat sanggup membiarkan pemimpin mereka memecahbelahkan perpaduan politik Melayu yang tidak pernah dinikmati oleh negara sebelum ini?

Ia semata-mata kerana mahu merampas kuasa dan mengelak ke penjara. Mengikut telunjuk pemimpin parti yang hayat politik mereka ‘ibarat telur dihujung tanduk’.

Apakah mereka sanggup mengadaikan penyatuan bangsa Melayu dan agama Islam yang pertama kali dalam sejarah bergabung membentuk sebuah pakatan besar ini?

Dengan pasukan perubatan, doktor dan jururawat bertarung dengan masa untuk menyelamatkan pesakit. Ada yang keletihan kerana bekerja dalam tempoh yang lama. Tidak kurang juga, kakitangan perubatan yang jatuh sakit dan terkena wabak yang tidak berperikemanusiaan ini.

Dalam Islam, jika berlaku peperangan, pemimpin adalah merupakan benteng serta kekuatan kepada barisan tentera. Jasa mereka semua mendapat balasan Syahid fi sabilillah.

Tetapi, jika mereka takut lalu melarikan diri semasa didalam peperangan itu ia adalah penghinaan kepada Allah dan Islam.

Ingatan kepada pemimpin-pemimpin ini. Apa yang sedang anda lakukan. Dari segi hubungan dengan institusi diraja ia adalah keingkaran. Dari segi hubungan dengan rakyat, ia adalah pengkhianatan. – Oleh Mahathir Mohd Rais, Ketua Bersatu Bahagian Segambut

Get real time updates directly on you device, subscribe now.