Sidang DUN akan tentukan keabsahan MB,kerajaan PN Johor

108

6 OGOS: Keabsahan Menteri Besar dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Johor akan ditentukan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, persidangan DUN yang dijadualkan pada 12 Ogos ini, sebagai platform yang sesuai untuk membincangkan sebarang perkara berbangkit dengan kehadiran 56 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Macam kenyataan saya terdahulu, kita akan terus menjunjung demokrasi di Johor ini tetapi kita juga tahu bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan undang-undang di negeri ini, adalah menjadi asas kepada sebarang keputusan dan tindak tanduk kita.

“Jadi melihat kepada perkembangan, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menentukan keabsahan beliau di Parlimen seperti mana yang dititahkan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Sebagai ketua kerajaan (negeri), saya merasakan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan ini, boleh kita bincangkan di Dewan Negeri bila kita bersidang untuk menentukan juga keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi swasta di KPJ Abdul Samad, di Johor Bahru, Johor hari ini.

Datuk Hasni Mohammad

Johor kini dipimpin PN Johor dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang. Kerajaan negeri diterajui UMNO Johor dengan 14 kerusi, Bersatu dengan 12 kerusi, MIC dua dan Pas satu kerusi manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan) dan PKR empat kerusi.

Berikutan itu, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, berkata tiada keperluan bagi UMNO Johor ataupun Barisan Nasional Johor untuk membuat sebarang keputusan buat masa ini berhubung isu-isu berbangkit termasuk sokongan ke atas Perdana Menteri.

“Di situlah (sidang DUN) saya rasa platform yang sesuai untuk kita mengambil satu keputusan berkaitan dengan isu-isu berbangkit…jadi perkara yang disebutkan (kenyataan Bersatu Johor) kalau ia bersifat politik, buat masa ini, tidak ada keperluan untuk UMNO negeri ataupun BN Johor membuat sebarang keputusan.

“Tentang kedudukan sokongan terhadap PM ke apa ke, itu semua akan kita akan (jelaskan) pada persidangan DUN nanti. Saya sendiri akan membuat pendirian terhadap perkara yang berbangkit itu,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni juga mengesahkan kehadiran Muhyiddin, yang juga ADUN Gambir itu, ke sidang DUN.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal semalam yang mahukan UMNO Johor membuat pendirian mengenai isu sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan PN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.