Sektor Perkilangan punca penularan COVID-19 di Selangor

27

6 OGOS: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, mengakui bahawa sektor perkilangan menjadi punca utama penularan kes COVID-19 di Selangor.

Dr Sha’ari dalam sidang media khasnya juga melahirkan rasa bersyukur dan memuji tahap pematuhan penduduk Selangor kerana tidak mencetuskan kluster berkaitan sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini

“Tiada kluster daripada perayaan Hari Raya Aidiladha dari rakyat Selangor, sebaliknya penyumbang utama adalah daripada sektor perkilangan.

“Dari segi trend kes dikesan dalam negeri Selangor, kalau kita lihat penyumbang kes utama yang pertama ialah sektor perkilangan sebanyak 96 kluster bersamaan 54 peratus dari kluster perkilangan, diikuti kluster perkhidmatan, kluster tapak bina, perniagaan dan kelima adalah komuniti.

DR SHA’ARI

“Kluster-kluster lain menunjukkan kes amat sedikit. “Kalau kita lihat trend berkenaan, kami juga cuba melihat adakah trend ini berkaitan dengan berkaitan sambutan hari raya sebelum ini, kita dapati tiada kluster sambutan hari raya.

“Ini bermaksud rakyat berada di Selangor amat akur dengan SOP dinyatakan dalam masa sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam sidang media khasnya hari ini.

Mengulas lanjut Dr Sha’ari berkata sebanyak 40 peratus daripada jumlah kes COVID-19 harian yang dicatatkan di Selangor adalah daripada kontak rapat dengan 22 peratus adalah kes bergejala, 20 peratus kalangan pekerja dan 14 peratus daripada kluster bukan pekerja.

Mengulas mengenai kluster perkilangan tambah Dr Sha’ari, penularan berlaku apabila pekerja tidak mematuhi SOP di luar kawasan kilang.

“Jadi kalau dikatakan, adakah semua kes daripada perkilangan, tidak.. tetapi kes yang ada kluster. Mungkin SOP mereka dipatuhi, tetapi selepas (pekerja) balik, mereka tidak patuh SOP dan apabila pergi balik ke kilang berlaku penularan.

“Bukan punca di kilang, majoriti mematuhi SOP di kilang, mungkin transmisi di luar kilang. Mereka balik semula ke kilang, ini saya rasa berlaku, sebab pematuhan di kilang amat bagus,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.