PM ucap terima kasih kepada MP BN sokong kerajaan

51

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalannya, Datuk Seri Ismail Sabri dan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang terus menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.

“Ini adalah selaras dengan titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu.

MP BN menyatakan kekal sokongan terhadap PM di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya berharap agar pendirian Ahli-Ahli Parlimen BN ini akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini dan memberi ruang kepada Kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani COVID-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.

“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen UMNO dan BN akan tetap setia dan komited dalam membantu Kerajaan PN  menyelesaikan permasalahan rakyat khususnya kesan pandemik COVID-19 sehingga sehingga keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Berikutan itu, Ismail Sabri dipetik sebagai berkata, adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab di kalangan pemimpin parti-parti komponen BN terutamanya Menteri untuk meninggalkan kerajaan secara tergesa-gesa seperti mana yang telah diarahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan semua ahli Parlimen UMNO masih setia kepada parti namun objektif UMNO dan objektif wakil rakyat adalah berkhidmat kepada masyarakat dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.