PBS yakin PM miliki majoriti dalam usul undi percaya

27

6 OGOS: Parti Bersatu Sabah (PBS) percaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih utuh dan berada pada kedudukan yang selamat biarpun ada undi percaya akan dibentangkan terhadap Perdana Menteri di Parlimen, pada September nanti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata kesediaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadapi undi percaya di Parlimen menunjukkan kerajaan PN masih dalam keadaan selamat.

“Perdana Menteri juga menyatakan usul undi percaya akan dibentangkan bagi mengesahkan keabsahan beliau semasa persidangan Parlimen pada 6 September ini dan kita akan membuat undian.

“Seluruh Kabinet (menteri) berada di belakang beliau (Muhyiddin) dan kita yakin bahawa Perdana Menteri akan kekal memiliki majoriti,” katanya selepas program jerayawara vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Marak-Parak, Kota Marudu, Sabah, hari ini.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, PBS akan kekal menyokong Muhyiddin dan PN dan kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS juga akan terus bekerja keras bagi menyokong kepimpinan di peringkat Persekutuan dan negeri Sabah.

“PBS akan terus menyokong Perdana Menteri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Bagi kami, keutamaan harus diletakkan kepada usaha menangani Covid-19.

“Oleh itu, rakyat Sabah disaran untuk kekal bertenang biarpun berlaku kemelut politik di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, pembangkang dilihat sengaja membuat kacau dalam persidangan Parlimen baru-baru ini bagi mengganggu usaha kerajaan menangani penularan wabak Covid-19.

“Situasi ini jelas menunjukkan usaha menangani Covid-19 bukan keutamaan pembangkang. Mereka hanya dahagakan kuasa dan ingin terus menimbulkan kekacauan, mereka bukan sahaja mengganggu persidangan Parlimen tetapi, turut membantutkan usaha kerajaan menangani wabak ini.

“Bagi memastikan kerajaan berfungsi dengan baik, ia memerlukan kestabilan untuk membolehkan usaha pemulihan ekonomi serta meningkatkan kebajikan rakyat dapat dilakukan.

“Maklum balas rakyat di peringkat akar umbi menunjukkan mereka sudah letih melihat taktik pembangkang yang kerap bermain politik dan mahu keadaan di negara ini kembali stabil,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.