MCA, MIC Pegang Ketetapan BN Sokong Kerajaan PN

58

6 OGOS: MCA dan MIC akan berpegang teguh kepada pendirian yang telah dibuat komponen Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu iaitu kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedia ada.

Dua parti komponen menerusi sidang media khas bersama sebahagian Ahli Parlimen BN yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pendirian terbabit tidak akan berubah selagi keputusan dibuat BN itu kekal.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Biro Politik partinya telah membuat keputusan untuk membawa ketetapan BN yang diluluskan tahun lalu ketika menyertai PN.

“Keputusan itu adalah sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Selagi keputusan itu kekal, kita rasa terpanggil membawa laporan ini bersama dengan rakan seperjuangan dalam BN.

Ka Siong (depan, dua dari kanan) dan Saravanan (depan, dua dari kiri) antara pemimpin Barisan Nasional yang hadir di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

“Kita akan bersama kerana kita mementingkan rakyat, soal COVID-19 yang sedang kita uruskan, dan akhirnya rakyat membuat keputusan,” katanya kepada media di Auditorium, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini. 

Sementara itu Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, berkata partinya turut berpegang kepada pendirian sama dan segala keputusan seharusnya dibuat di peringkat tertinggi BN.

“Setakat ini kita memang pegang kepada keputusan pucuk pimpinan MIC dan BN. MCA dan MIC tetap akur dengan keputusan BN sebab kami diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN.

“Maka segala keputusan harus dibuat di peringkat BN. Jadi sehingga sebarang (keputusan lain dibuat), kita teruskan sokongan kita (kepada kerajaan),” katanya.

Saravanan berkata, persoalan terbesar ahli akar umbi BN ketika ini, adakah jumlah 41 kerusi yang dimiliki, apakah hala tuju gabungan itu selepas membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Bukan saya sahaja, satu Malaysia samar apa pendirian BN keluar (kerajaan)? Kerajaan jatuh? Apa nak jadi?

“Dengan kes COVID-19 meningkat, ekonomi terjejas dan krisis politik lagi. Sampai satu Malaysia tidak tahu jawapan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.