Syed Saddiq mengaku tidak bersalah tuduhan ubah wang haram

46

5 OGOS: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga miliknya yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad di No 17 dan 19, Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Muar itu yang diwakili peguam Gobind Singh Deo tiba di mahkamah kira-kira 9 pagi dan beberapa penyokong serta ibu bapanya dilihat turut hadir memberi sokongan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd ‘Afif Ali.

Wan Shaharuddin memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Syed Saddiq mengguna pakai jaminan yang sama dikenakan kepada beliau ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pihak pendakwaan juga memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana semua saksi pendakwaan adalah orang sama bagi kes dihadapi di Kuala Lumpur.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudian membenarkan semua permohonan pendakwaan dan menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.