PN Negeri Perak kekal sokong Muhyiddin

76

5 OGOS: Kedudukan Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak dalam Kerajaan Negeri masih kekal walaupun berlaku kemelut politik akibat penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhdyiddin Yassin.

Setiausaha Perikatan Nasional Negeri Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, PN Negeri Perak akan menurut pertimbangan dan keputusan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional dengan fokus utama adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Menyelami kemelut politik negara yang melanda kini, PN Negeri Perak menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas perkara yang telah berlaku pada 3 Ogos lalu.

ZAINOL FADZI

“Penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri oleh lapan orang Ahli Parlimen merupakan satu perkara yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Malaysia tentang status Kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainol Fadzi berkata, PN Negeri Perak merasakan kenyataan media daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang tular sejurus selepas pengumuman yang dibuat oleh Presiden UMNO pada hari yang sama haruslah lebih peka dan sensitif terhadap keadaan semasa di Negeri Perak.

Ini kerana, katanya kewujudan Kerajaan Negeri Perak pada hari ini adalah kerana sokongan daripada PN yang membentuk kerajaan dan ianya tidak seharusnya berlaku dalam tampok kepimpinan bersama dalam Kerajaan yang ditubuhkan.

“Tindakan yang diambil ini hanya akan mengeruhkan keadaan pada kala Malaysia sedang memerangi musuh utama iaitu pandemik COVID-19.

“Tumpuan harus diberikan sepenuhnya untuk mengurus permasalahan pandemik ini dan membantu rakyat yang terkesan. Sebagai pemimpin adalah wajib untuk kita meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang tertinggi mendahului kehendak dan keperluan politik,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, PN Negeri Perak mendoakan semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan hidayah agar kerajaan pimpinan Muhyiddin terus istiqamah dalam mentadbir negara dan mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya 80 peratus  menjelang hujung  tahun ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.