RM862.47 juta diperuntukan bayar tuntutan elaun frontliner

29

5 OGOS: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan kerajaan sudah membelanjakan RM862.47 juta bagi membayar 2,384,504 tuntutan elaun kepada petugas barisan hadapan, setakat 23 Julai lalu

Tengku Zafrul berkata jumlah berkenaan merangkumi elaun khas barisan hadapan kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan COVID-19.

“Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) ke-64 secara maya hari ini.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, seramai 2,588 pemandu pengangkutan awam di Sabah sudah mula menerima bantuan one-off sebanyak RM500 seorang di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang disampaikan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.

Katanya, penerima bantuan itu terdiri daripada 1,818 pemandu teksi dan kereta sewa, 391 pemandu bas pelancong dan 379 pemandu bas sekolah.

“Penerima bantuan ini telah disahkan oleh LPKP Sabah dan layak menerima bantuan sebagai Pemegang Kad Pemandu yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan masih sah laku sehingga 13 Januari 2021, serta memiliki Lesen Pengendali dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang masih dalam tempoh sah laku.

“Mereka juga adalah menerima bantuan one-off di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Geran Khas Prihatin (GKP) sebelum ini dan menerima pembayaran secara automatik ke dalam akaun bank masing-masing,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, LPKP Sabah juga telah mengesahkan senarai nama pemandu e-hailing yang layak mendapat bantuan di bawah PEMERKASA+ terdiri daripada 3,690 pemandu Grab, 44 pemandu Maxim dan 106 pemandu MyCar.

“PEMERKASA+ mensasarkan penyaluran bantuan one-off ini kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 pemandu bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing.

“Bantuan ini yang berjumlah RM68 juta telah disalurkan kepada penerima yang berdaftar bermula bulan lalu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.