Annuar sifatkan hubungan Muhyiddin dengan Agong istimewa

28

5 OGOS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disifatkan mempunyai hubungan yang ‘istimewa.’

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata demikian, ketika merujuk sikap Muhyiddin yang sentiasa memulakan Mesyuarat Jemaah Menteri dengan menyampaikan titah Seri Paduka termasuk teguran, sekali gus menyelar tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa Perdana Menteri sebagai derhaka.

“Minggu ini sahaja, tiga kali Muhyiddin menghadap Tuanku iaitu waktu berlaku kekeliruan pindaan Ordinan Darurat pada 28 Julai, sebelum mesyuarat Kabinet pada 29 Julai dan hari ini (semalam) menghadap lagi.

“Orang yang derhaka, Tuanku tidak benarkan masuk Istana Negara. Yang tahu derhaka atau tidak derhaka itu Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi yang membincangkan tajuk ‘Politik: Apa lagi selepas ini?’

Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak derhaka kepada Agong kerana orang derhaka tidak dibenarkan masuk Istana Negara.

Menyentuh perutusan khas Muhyiddin semalam, Annuar berkata Perdana Menteri mengambil langkah yang tepat dan berani bagi menyelesaikan kemelut politik tanah air.

Katanya jika polemik politik itu dibiarkan berpanjangan, ia akan mengganggu tanggungjawab kerajaan yang sedang bertungkus-lumus berjuang dengan cabaran besar iaitu pandemik COVID-19.

Beliau juga menyifatkan pembentangan usul undi percaya kepada Muhyiddin pada sidang Parlimen bulan depan sebagai profesional dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perutusan khas semalam, Muhyiddin berkata beliau telah menyembah maklum kepada Al-Sultan Abdullah bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen dengan membenarkan suatu usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

Annuar turut menyifatkan Muhyiddin sebagai pemimpin berpengetahuan luas mengenai selok-belok pentadbiran negara dan mempunyai komitmen yang tinggi

“Beliau berpengetahuan luas, pernah menjadi menteri besar, menteri, timbalan perdana menteri dan kini perdana menteri. Walaupun nampak bersahaja tetapi beliau sangat arif dalam pentadbiran negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian kerajaan perlu dilihat dari segi kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan kadar vaksinasi harian tertinggi di dunia dan usaha menyelesaikan pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.