Polis Kelantan tolak dakwaan pihak berkuasa Thai

50

4 OGOS: Polis Kelantan menolak dakwaan bahawa pihak berkuasa Thailand bahawa serangan ke atas Pos Operasi Tempur Kompeni Renjer di Tak Bai, Narathiwat, awal pagi semalam adalah dilakukan dari tebing sungai Malaysia.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata dakwaan oleh pihak tentera Thailand itu tidak berasas kerana tiada sebarang pembuktian yang dikemukakan oleh mereka.

Shafien berkata, berdasarkan dakwaan itu, serangan ke atas pos tersebut dilakukan oleh kumpulan pemisah Thailand dari tebing sungai di negara ini.

“Polis Kelantan telah menjalankan siasatan di lokasi iaitu Pangkalan Haram Ikan Kering, Kubang Pak Itam, Pasir Mas yang didakwa digunakan oleh pihak pemisah untuk melakukan serangan namun tidak menjumpai sebarang bentuk bukti kelongsong peluru atau kesan tembakan di lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata susulan kejadian tersebut, polis telah memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan di antara kedua-dua negara dengan melakukan pemantauan secara berterusan.

Semalam seorang anggota renjer maut manakala empat cedera parah dalam satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di pos kawalan tersebut dalam kejadian pada kira-kira 2.20 pagi (waktu tempatan).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.