Kesediaan PM Berdepan Usul Undi Percaya Tindakan Berani

37

4 OGOS: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentangkan usul undi percaya, pada persidangan Dewan Rakyat, September ini bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri merupakan sebagai satu tindakan yang berani.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, ini kerana keputusan tersebut menunjukkan Muhyiddin bersedia menerima akibatnya jika beliau gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. 

Justeru, beliau berkata, kerajaan Sarawak menghormati pendirian Muhyiddin itu yang disifatkannya sebagai tindakan bijak untuk meredakan ketegangan politik ketika negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Dalam hal ini, kami (kerajaan Sarawak) menyokong penuh pendirian Perdana Menteri untuk membawa usul ke Dewan Rakyat dan yakin beliau mempunyai sokongan majoriti.

“Ini adalah keputusan yang baik untuk menyelesaikan kemelut politik negara yang tidak menentu sekarang,” katanya kepada media selepas ditemui di Majlis Pelancaran Bantuan Khas Sarawakku Sayang 7.0 (BKSS 7.0) dan Simbolik Penyerahan BKSS 6.0 di Kuching, Sarawak, hari ini.

Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS)  itu memaklumkan, keputusan Muhyiddin itu tepat kerana kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan.

“Keduanya, penggal Dewan Rakyat kini kurang daripada dua tahun, jadi kenapa pihak yang mendesak itu tidak mahu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita tidak mahukan kerajaan yang terumbang-ambing (dalam menangani pandemik),” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, GPS sudah menetapkan pendirian bahawa Malaysia harus mempunyai kerajaan yang stabil dalam menangani pandemik COVID-19.

Justeru katanya, GPS akan terus memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk menerajui pentadbiran negara dan usul percaya yang akan dibawanya ke Dewan Rakyat bulan depan menepati Perlembagaan negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.