BERSATU Pengerang kecewa tindakan Azalina tarik sokongan

68

4 OGOS: Tindakan Ahli Parlimen BN-Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman, menarik balik sokongan diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini menggambarkan beliau kurang prihatin dengan masalah dihadapi penduduk di kawasan terbabit

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Pengerang, Mohd Faizal Asmar, berkata, tindakan itu juga menunjukkan Azalina sanggup memperjudikan nasib pengundi Parlimen Pengerang demi kepentingan politik.

Berikutan itu, Mohd Faizal juga melahirkan rasa terkilan kerana Azalina memilih untuk bersekongkol dengan presiden parti menjatuhkan kerajaan ini seolah-olah memperjudikan nasib rakyat Pengerang.

“Ini kerana Kerajaan yang memerintah (termasuk Ahli Parlimen UMNO) ini sedang berusaha gigih menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Terutama dalam meningkatkan kadar pemberian vaksin, mengurus pandemik COVID-19 dan membantu rakyat yang terkesan di lapangan.

“Justeru, menyokong kepada usaha untuk menggugat pentadbiran kerajaan yang memerintah ini tidak boleh diterima sama sekali. Sebagai orang lama dalam pentas siasah tanah air, Ketua UMNO Pengerang harus matang dalam berpolitik.

“Malah haruslah lebih bersifat adil dan rasional dalam percaturan politiknya agar keutamaan diletakkan kepada soal kemaslahatan rakyat. Bagaimanapun, amat malang buat pengundi Pengerang kerana wakilnya seakan lebih mementingkan soal politik berbanding nyawa rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Faizal Asmar

Berikutan itu Mohd Faizal berkata, tidak salah untuk dicadangkan agar Azalina meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebelum sidang Dewan Rakyat pada bulan September ini.

Bagaimanapun, Mohd Faizal berkata tidak menyalahkan Azalina kerana menyatakan hasrat mahu meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat .

Mohd Faizal berkata tindakan berkenaan adalah selari dengan keputusan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, semalam.

“Perkara ini bukanlah luar biasa, apatah lagi sebagai ahli, perlulah untuk menunjukkan kesetiaan kepada Presiden dan parti. Untuk itu, beliau yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah secara jelas menunjukkan pendiriannya.

“Cuma, sedikit terkilan apabila beliau memilih untuk menyokong tindakan Presiden parti yang beberapa kali mendesak agar Perdana Menteri meletakkan jawatan, meskipun UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan PN.

“Namun ia (peletakan jawatan Perdana Menteri) tidak berlaku. Perdana Menteri telah membuktikan kemampuan memimpin jentera Kerajaan. Perdana Menteri telah menunjukkan teladan dalam menjalankan tadbir urus kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lebih malang, Mohd Faizal berkata parti yang sarat dengan sejarah dan jasanya, kini terbeban dengan masalah yang dihadapi pemimpinnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.