Agong zahir ucapan tahniah kepada Soh Chin Ann

34

4 OGOS: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Ann, yang telah dinobatkan sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa.

Chin Ann disenaraikan dalam FIFA Century Club sebagai pemilik ‘caps’ antarabangsa terbanyak FIFA dengan 195 ‘caps’.

FIFA Century Club adalah eksklusif untuk pemain yang telah bermain sekurang-kurangnya 100 perlawanan antarabangsa.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau menduduki tempat pertama, sekaligus melakarkan sejarah dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pencapaian Dato’ Soh Chin Ann ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia.

Chin Ann yang mewakili pasukan kebangsaan dari tahun 1969 hingga 1984 adalah salah seorang daripada empat legenda kebangsaan termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh, dalam senarai terkini dikeluarkan FIFA, semalam.

Antara nama besar lain dalam senarai 10 terbaik ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).

Antara legenda bola sepak negara yang turut tersenarai ialah Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan Mendiang Datuk R. Arumugam (131).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.