UMNO tarik balik sokongan kepada PN, Muhyiddin serta merta

82

3 OGOS: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari membuat ketetapan bahawa UMNO menarik balik sokongan diberikan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat MKT secara maya menjelaskan UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin kerana ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Malah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong.

Malah, Ahmad Zahid mendakwa kenyataan itu jelas mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong maka, MKT sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Perdana Menteri.

“Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

“Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan,” katanya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.