Kediaman PM jadi tumpuan wakil parti, petugas media

114

3 OGOS: Susulan pengumuman UMNO menarik sokongan secara rasmi terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) mulai hari ini, kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, menjadi tumpuan ramai pemimpin politik dan berpuluh petugas media pelbagai agensi.

Malah, turut kelihatan ialah Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dilihat memasuki kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8.20 malam tadi.

Turut dilihat hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu, Nasib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dilihat masuk ke kawasan kediaman Perdana Menteri pada jam 9.01 minit tadi.

Perkembangan tersebut adalah berikutan tindakan UMNO mendesak Muhyiddin meletak jawatan dengan alasan kerajaan pimpinan beliau mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lalu.

Petugas media berada di luar kediaman Perdana Mwnteri berikutan kemelut kerajaan ekoran pengumuman UMNO menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Desakan itu dibuat selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO selesai mengadakan mesyuarat secara maya dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO memilih mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Berikutan itu, UMNO sudah menghantar akuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan bahawa mereka tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Ahmad Zahid menyifatkan bahawa keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri juga sudah terbatal.

Berikutan itu, Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai jemaah menteri PN berkuat kuasa serta merta mulai hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.