Dr. Mahathir akui silap sertai himpunan

326

3 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau telah melakukan kesalahan dengan menyertai perhimpunan Ahli Parlimen diketuai oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.

Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu mengakui bahawa perhimpunan bagi membantah penangguhan Sidang Khas Parlimen berkenaan tidak sepatutnya diadakan ketika negara berdepan peningkatan kes COVID-19.

“Saya mengakui saya sendiri buat salah. Semalam saya hadir perjumpaan wakil rakyat (pembangkang) mula-mula saya fikir nak duduk dalam kereta nak tunjuk saya sokong, bila sampai orang kumpul saya pergi dan duduk dengan orang.

“Hari ini saya lakukan ujian lagi sekali negatif. Tapi itu tak patut saya lakukan (sertai himpunan), majlis seumpama itu tak  harus diadakan, kalau nak ada perjumpaan  patut buat secara online, melalui Zoom, kalau nak protes guna Zoom,” katanya dalam satu temu bual “Solusi Selamatkan Malaysia” di Facebook Reset Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan semua Ahli Parlimen dan individu menghadiri perhimpunan haram berhampiran Dataran Merdeka, semalam, akan dipanggil memberi keterangan kepada polis, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, dipetik sebagai berkata semua mereka akan dirakam percakapan sebelum polis melengkapkan kertas siasatan yang akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Azmi juga mengesahkan sehingga kini polis sudah menerima dua laporan di sekitar Kuala Lumpur, berhubung perhimpunan berkenaan.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mendesak polis supaya tidak mengamalkan ‘double standard’ atau pilih kasih dalam mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen mahupun orang awam yang menyertai perhimpunan haram.

Musa dalam kenyataannya berkata pihak berkuasa perlu konsisten dalam mengambil tindakan terhadap orang ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Musa berkata, mereka perlu ditangkap seperti tindakan diambil terhadap sekumpulan jemaah masjid yang menunaikan solat sunat Aidiladha di tempat awam di Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Pihak berkuasa perlu konsisten di dalam mengambil tindakan. Mereka yang melanggar PKP perlu ditangkap seperti tindakan di Seberang Perai sewaktu sembahyang raya beramai-ramai di tempat awam,” katanya menerusi ciapan menerusi akaun di Twitternya hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.