SPR sedia adakan PRN Sarawak selepas 60 hari proklamasi Darurat

16

2 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas 60 hari Proklamasi Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324 diungkaikan pada Februari 2022.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR mengambil maklum akan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Mohd. Yassin, pada 31 Julai 2021 dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat (Sarawak) oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung PRN Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.

Sehubungan itu, Ikmalruddin berkata satu ordinan telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.

“Di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324, memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa Dewan Undangan Negeri terbubar selepas 5 tahun daripada mesyuarat pertamanya tidak mempunyai kesan.

“Oleh yang demikian, memandangkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U.(A) 323 yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan
Agong pada 29 Julai 2021 dan peruntukan Seksyen 3(4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324 maka
Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri digantung dan hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi ini
dibatalkan atau diungkaikan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Pada 31 Julai lalu, portal PNBBC melaporkan bahawa PRN Sarawak akan ditangguhkan enam bulan lagi sehingga 2 Februari 2022 berikutan pengisytiran Proklamasi Darurat baharu oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda membuat pengisytiharan berkenaan menerusi warta kerajaan disiarkan menerusi laman web Pejabat Peguam Negara, mulai semalam.

Yang di-Pertuan Agong bertitah pengisytiharan Proklamasi Darurat berkenaan dibuat bagi mengelak wabak COVID-19 terus merebak.

Bagi Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dalam keadaan itu baginda boleh mengeluarkan satu Proklamasi Darurat untuk menggantung PRN ke Dewan Undangan Negeri.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.