15 Lokaliti Di Tiga Negeri Dilanjutkan Hingga 4 Ogos Ini

17

2 OGOS : Kerajaan akan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 lokaliti di Terengganu, Pahang dan Kampung Pituru Kinarut, Papar di Sabah mulai Rabu ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah itu, 10 darinya adalah di Mukim Kuala Dungun, Terengganu iaitu

Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak, Kampung Molek, Bijangga, Sungai Udang dan Sungai Penaga. 

“Di Terengganu, dua kawasan lagi di kawasan Mukim Bandi akan turut dilanjutkan iaitu Bandar Cheneh Baru serta FELDA Neram 2 manakala Kampung Bedu, Kampung Temalian dan Kampung Pamah Kula. 

“Setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, PKPD di kesemua lokaliti akan dilanjutkan bermula 4 Ogos sehingga 15 Ogos ini,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini

Dalam pada itu, Hishamuddin memaklumkan sebanyak 12 lokaliti di Pahang, Melaka, Sabah dan Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa,Pasir Puteh, Kelantan akan ditamatkan berikutan berlakunya penurunan kes.

Beliau yang juga Menteri Luar memberitahu empat PKPD yang akan ditamatkan di Sabah adalah Kota Kinabalu adalah Jalan Kampung Likas Simpang 3, Api-api Centre, Taman Ujana Kingfisher, Likas, Kampung Salut, Telipok manakala Kampung Marau dan kampung Kebawang di Sipitang, serta Kampung Meruntum di Putatan,Sabah. 

“Semua lokaliti ini akan ditamatkan bermula tengah malam ini (3 Ogos). Semua ditamatkan mengikut jadual kecuali Kampung Gong Jering yang ditamatkan lebih awal, “katanya. 

Pada masa sama, Hishamuddin menegaskan, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan PKPD di empat lokaliti di Sabah, Kelantan dan Kuarters Pekerja Ladang Palmlyn di Mukah, Sarawak mulai Rabu ini. 

Beliau berkata, lokaliti yang akan dilaksana PKPD di Sabah adalah Kampung Selagon serta Kampung Binsulok di Beaufort manakala Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang di Tumpat dan Kampung Tok Sadang, Mukim Badang di Kota Bharu juga merupakan lokaliti di Kelantan. 

“Setelah membuat penilaian risiko, semua lokaliti akan dilaksanakan PKPD mulai 4 Ogos sehingga 17 Ogos depan. PKPD ini dilaksanakan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pengesanan awal kes.

“Ini juga bagi memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar daripada lokaliti tersebut,” katanya. 

Sementara itu, bagi task force operasi pematuhan, beliau turut mengesahkan jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam merekodkan jumlah 375 individu telah ditahan dan daripada jumlah itu, seramai 348 individu dikompaun dan 27 orang lagi telah direman. 

Pada masa sama, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong memberitahu, sebanyak 34 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Tindakan itu diambil selepas semalam, pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan ke atas 1,387 buah kilang, 15,580 premis perniagaan, 556 tapak pembinaan dan 155 buah asrama penempatan pekerja,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.