Pemuda PAS Akan Lapor Polis Surat Istana Bocor

90

1 OGOS: Dewan Pemuda PAS akan membuat laporan polis berhubung penyebaran surat yang didakwa sebagai surat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertarikh 29 Julai lalu.

Timbalan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan ini diambil kerana pembocoran surat tersebut telah menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

Menurut beliau, tindakan itu juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.

“Surat tersebut, jika benar wujud, tentunya merupakan surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya iaitu Perdana Menteri.

AHMAD FADHLI

“Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

“Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam dan penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Beberapa hari lalu, tular di media sosial berkaitan dengan surat didakwa dihantar oleh Istana Negara kepada Perdana Menteri berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dilihat mula disebarkan oleh pemimpin dari pembangkang, iaitu Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad. 

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memaklumkan, seharusnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan bukan dimarakkan lagi pertembungan.

Justeru, beliau menegaskan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenal pasti punca kebocoran surat ini bagi melihat sama ada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.

“Dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.

“Pemuda PAS mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik. 

“Pemuda PAS mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.