Pembangkang Cuba Heret Agong ke Polemik Politik

156

1 OGOS: Pembangkang kelihatan begitu ghairah mahu mengheret Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke dalam agenda Pakatan Harapan. 

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini dibuktikan dengan berkali-kali nama Seri Paduka Baginda digunakan dalam hujah pembangkang di Parlimen, walaupun ia jelas tidak dibenarkan di bawah ‘standing order’ Parlimen.

“Kita tahu perwatakan Yang di-Pertuan Agong, sebagai seorang raja yang sangat arif dan berpengalaman, tuanku tidak begitu. Baginda tidak akan berpolitik atau berparti, jauh sama sekali mahu menyokong usaha mana-mana individu atau parti di luar kerajaan.

“Apatah lagi parti-parti dan individu tertentu di mana baginda amat arif menilai track record dan latarbelakang mereka. Yang pasti baginda kekal sebagai raja memerintah seperti mana termaktub dalam perlembagaan.

“Baginda sebagai seorang raja Melayu, dan payung yang menaungi kedudukan agama Islam, tidak akan melibatkan diri dengan sesuatu yang memudaratkan kuasa melayu dan kedudukan agama Islam negara ini, yang terbukti pernah terancam dan diancam pihak tertentu,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Malaysiakini, hari ini. 

ANNUAR

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan kerajaan masih lagi sekali dan sebenarnya tidak menghadapi krisis khususnya dari segi perlembagaan dan kepercayaan di samping kerajaan di bawah pentadbiran, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa mempunyai hubungan yang baik, rapat dan akrab dengan Al Sultan Abdullah, hinggalah ke saat ini. 

Malah, beliau menegaskan kerajaan membuat keputusan tidak menasihatkan perisytiharan proklamasi darurat yang baharu, selepas tamatnya proklamasi darurat pada 1 Ogos di samping mengadakan sidang Parlimen selari dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong. 

“Begitu juga pembatalan semua ordinan yang dibuat semasa berkuatkuasanya proklamasi darurat, diputuskan untuk dibuat revocation seberapa segera, dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembatalan, sebelum seterusnya diwartakan. Semuanya atas memenuhi pandangan Seri Paduka Baginda. 

“Cuma tidak semena-mena telah berlaku polemik di Parlimen, apabila ada pihak mentafsirkan kenyataan menteri bertanggungjawab hal undang-undang sebagai kononnya telah membatalkan ordinan tanpa perkenan Seri Paduka Baginda. 

“Sedangkan, yang sebenarnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen danUndang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan cuma ingin memaklumkan pendirian dan keputusan mesyuarat Kabinet, tanpa memperincikan proses yang sedang berjalan, iaitu masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Justeru, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menegaskan tuduhan kerajaan derhaka hanyalah satu lagi ejekan rekaan serupa tuduhan kerajaan gagal, kedua-duanya datang dari kelompok yang sama, berbaur mainan politik.

Menurut beliau, Muhyiddin sentiasa mengarahkan Kabinet untuk melaksanakan segala titah dan pandangan Seri Paduka Baginda seperti amalan Perdana Menteri terdahulu dan dalam isu revokasi ordinan juga menepati undang-undang dan perlembangaan. 

“Malah perlu diketahui, apabila isu itu cuba dikelirukan, Perdana Menteri tanpa berlengah pada keesokan harinya iaitu pada 27 Julai, terus mengadap Yang di-Pertuan Agong bersama-sama peguam negara untuk menerangkan perkara sebenar. 

“Malah Perdana Menteri memohon maaf sekiranya apa yang disampaikan di Parlimen, menimbulkan kekeliruan, dan ia boleh diperjelaskan. Jadi, di mana penderhakaannya? Hasil daripada mengadap itu, Seri Paduka Baginda ada menjelaskan pandangan baginda kepada Perdana Menteri dan perlu membawanya ke Kabinet minggu berkenaan yang diadakan pada 29 Julai lalu. 

Tambah beliau, Kabinet sentiasa membincangkan segala permasalahan yang berlaku mengulangi komitmen untuk terus menjaga kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong serta melindungi teras dan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Maka amat jelas, beliau berkata, kerajaan ini yang merupakan kerajaan bertunjangkan dan berteraskan parti melayu dan bumiputera yang diperkasakan dengan muafakat pelbagai kaum, tidak sama sekali mengizinkan institusi Raja-raja Melayu diderhakai atau diperalatkan oleh mereka yang pernah menderhaka.

“Atas dasar inilah kerajaan ini terbentuk, setelah 22 bulan melihat bagaimana kedaulatan Raja-raja Melayu diancam dengan cara yang belum pernah dilihat berlaku sejak negara merdeka. Atas dasar inilah juga 40 ahli parlimen BN, mengikrarkan sokongan berterusan kepada kerajaan PN ini, serta bersetia kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.