KKM syorkan sidang Parlimen tangguh 2 minggu

75

1 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen ditangguhkan selama dua minggu bermula Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia bagi mencegah jangkitan COVID-19 daripada merebak di Parlimen.

“Hasil penilaian risiko yang dilakukan selepas mengambil kira faktor epidemiologi serta persekitaran, mendapati sidang Parlimen adalah perhimpunan berisiko tinggi untuk penularan COVID-19.

“Penilaian risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 hingga 29 Julai lalu, dinasihatkan memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

NOOR HISHAM

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, menasihatkan mereka yang mengalami gejala perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran tempat tinggal masing-masing.

Selain itu, pihaknya meminta kerjasama pihak terbabit untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan.

Mengulas lanjut mengenai risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen, beliau menjelaskan, terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi punca penularan wabak berkenaan.

“Keadaan dewan Parlimen yang bertutup, meningkatkan risiko jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar atau menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam.

“Faktor lain ialah tempoh panjang berada di dalam dewan dan sekitar Parlimen, memberi risiko pendedahan berulang; perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes; penjarakan fizikal dalam dewan kurang satu meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja; dan perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam serta luar dewan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen juga berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain.

“Ramai dalam kalangan yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen adalah dalam kategori warga emas dan berkemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan, di samping tidak semua individu yang hadir di Parlimen sudah menerima vaksinasi COVID-19 yang lengkap,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada 11 kes positif dikesan di Parlimen, lima mempunyai kadar kebolehjangkitan sangat tinggi, iaitu antara 12.67 hingga 18.9.

Beliau berkata, hanya dua kes positif dikesan itu memiliki sejarah vaksinasi COVID-19 yang lengkap, iaitu melepasi 14 hari dari tarikh dos kedua.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, beliau membuat pembentangan kepada ‘Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak COVID-19’ di Parlimen, 26 Julai lalu.

“Melalui mesyuarat ini, mereka yang hadir sudah dimaklumkan hasil saringan prapersidangan, risiko penularan COVID-19 serta kekhuatiran KKM.

“KKM turut mengemukakan cadangan, iaitu Sidang Khas Parlimen ditangguhkan hingga status liputan imunisasi sekurang-kurangnya 40 peratus, terutama di Lembah Klang.

“Ini mengambil kira peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh Malaysia, terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Atau sekiranya Sidang Khas Parlimen diteruskan, jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendek bagi mengurangkan tempoh pendedahan.

“Dicadangkan supaya sidang hendaklah dihentikan serta-merta jika ada kes positif COVID-19 yang dikesan, bagi mencegah risiko penularan dalam kalangan individu yang hadir di Parlimen,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.