Istana Balai Besar dibuka untuk program vaksinasi

26

1 OGOS: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memperkenan supaya pintu Istana Balai Besar dibuka bagi program vaksinasi kepada rakyat yang bakal memanfaatkan 2,000 individu.

Program selama lima hari itu bermula hari ini dibuka kepada rakyat, ahli keluarga kakitangan Istana Kelantan dan kerabat diraja.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar, berkata Istana Balai Besar adalah satu-satunya istana di Kelantan yang dibuka untuk kemudahan rakyat menerima vaksin berkenaan.

Katanya, Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan anjuran Pejabat Sultan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan itu merupakan pelaksanaan fasa kedua.

Beliau berkata, pelaksanaan fasa pertama berlangsung pada 9 Jun lalu membabitkan 350 penerima vaksin terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Kelantan.

“Fasa kedua bermula hari ini dan akan berlangsung selama lima hari, membabitkan 2,000 penerima terdiri daripada keluarga kakitangan istana, kerabat diraja dan rakyat jelata.

“Sultan Kelantan turut menitahkan semua rakyat Kelantan di dalam dan luar negeri supaya mengambil serius berkenaan peningkatan jangkitan COVID-19 serta memainkan peranan masing-masing dalam melindungi diri sendiri dan keluarga.

“Baginda juga memuji rakyat Kelantan yang sudah mendaftar untuk divaksinkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Azmi berkata, Sultan Kelantan menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan, terutama kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah dalam usaha membendung penularan wabak itu.

Seterusnya, beliau memaklumkan bahawa Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra juga amat prihatin terhadap masalah dan kekangan dihadapi KKM dalam usaha memastikan kelancaran proses pemberian vaksin COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.