Fokus Isu COVID-19, Bukan Ordinan Darurat

54

1 OGOS: Ahli-Ahli Parlimen hanya membuang masa untuk berbahas berhubung Ordinan Darurat di Dewan Rakyat yang seharusnya perlu difokuskan untuk membantu negara pulih dari pandemik COVID-19.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A Vigneswaran, adalah sangat tidak perlu ketika ini bagi ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskan Ordinan Darurat memandangkan ia sudah pun berakhir pada hari ini.

“Ia hanya mensia-siakan masa yang diberikan untuk ahli-ahli Parlimen memulakan langkah dan tindakan ke arah membangunkan kembali negara ini.

“Persidangan Parlimen memberikan peluang kepada negara untuk menyusun semula dan menetapkan hala tuju negara kita, namun malangnya telah terganggu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

VIGNESWARAN

Dalam pada itu, S.A Vigneswaran yang juga Presiden MIC memaklumkan, ahli-ahli Parlimen ada isu-isu yang lebih penting untuk dibahaskan bersama berkaitan keadaan negara ketika ini perlu ditangani.

“Sidang Khas Parlimen diadakan berasaskan hanya satu tujuan untuk berbahas mengenai pelan pemulihan COVID-19 dan menetapkan hala tuju bagi menangani isu yang berkaitan dengan pandemik. 

“Apatah lagi, satu ketetapan telah dicapai bahawa tiada usul atau resolusi akan dipertimbangkan semasa persidangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Negeri Johor, Rusman Kemin berkata ahli-ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang majoritinya pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempamerkan wajah dan perangai jelek mereka apabila menjadikan sidang Parlimen tidak ubah seperti pasar lelong, hingar bingar dan sangat memalukan.

“Mereka berhujah dengan penuh emosi menuduh kerajaan sebagai penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, kononnya merekalah pejuang yang mahu mempertahankan institusi istana.

RUSMAN

“Sedangkan merekalah yang paling kerap menghina raja-raja Melayu dan kalangan mereka juga yang telah meminda Perlembagaan sehingga mengehadkan imuniti raja-raja,” katanya. 

Tambah beliau, tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang disifatkan bermuka-muka itu tidak ubah seperti penderhaka yang melakonkan watak taat kepada raja-raja Melayu.

Rusman memaklumkan, jika diimbas kembali sepanjang sejarah politik kotor pemimpin daripada blok pembangkang, merekalah yang paling banyak melakukan penghinaan terhadap institusi raja-raja Melayu selama ini.

“Inilah kumpulan si penderhaka yang sedang melakonkan watak taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang mesti kita sedar akan permainan mereka untuk mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dengan menuduh kerajaan hari ini sebagai penderhaka.

“Kita sedar bahawa kerajaan yang ada ini mempunyai kelemahan dalam beberapa perkara namun kita juga kena sedar bahawa kerajaan hari ini juga telah mengambil satu tanggungjawab yang besar dan sangat berat kerana negara kita dan seluruh dunia sedang berdepan dengan ujian yang dahsyat iaitu COVID-19.

“Kami sekali lagi mengulangi seruan Yang di-Pertuan Agong agar semua berhenti seketika berpolitik dan tumpukan sepenuh perhatian untuk menangani masalah pandemik COVID-19 dan pemulihan negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.