Polis siasat siapa penganjur himpunan haram hari ini

119

31 JULAI: Polis Dang Wangi buka kertas siasatan terhadap pihak penganjur dan peserta perhimpunan haram #Lawan dianjurkan di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata berkata, biarpun perhimpunan itu diadakan secara aman namun ia tetap melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata ini kerana negara masih lagi berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tiada mana-mana pihak yang boleh berhimpun secara beramai-ramai.

“Kita akan ambil tindakan susulan kemudian kerana ketika negara masih dalam tempoh PKP dan PPN tidak ada sesiapa dibenarkan terlibat dengan sebarang perhimpunan.

Ini kerana tiada sebarang perhimpunan atau perjumpaan dibenarkan mengikut Seksyen 10 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit Akta (Akta 342),” katanya ketika dalam sidang media di IPD Dang Wangi hari ini.

Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah

Berikutan itu, Zainal berkata pihaknya telah meminta semua peserta himpunan untuk bersurai sekitar pukul 12.40 tengah hari tadi.

Beliau berkata, semua peserta himpunan diminta untuk mengosongkan sepanjang Jalan Tun Perak itu selepas mereka telah diberikan masa yang cukup untuk berhimpun.

Terdahulu, sejak awal pagi ratusan individu berpakaian hitam berkumpul di luar Masjid Jamek untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi tunjuk perasaan #Lawan.

Anggota polis yang bertugas di Dataran Merdeka turut menutup keseluruhan kawasan tersebut menggunakan pagar selain menjalankan kawalan ketat.

Difahamkan terdapat kira-kira 1,000 peserta yang menyertai himpunan #Lawan pada hari ini dengan rata-rata pesertanya dalam kalangan anak muda.

Sementara itu, pelbagai organisasi masyarakat sivil semalam meminta polis berhenti memanggil penganjur dan peserta perhimpunan #Lawan untuk disoal siasat, dengan mengatakan sekurang-kurangnya 20 telah dipanggil sejak 25 Julai.

Mereka berkata, “respons yang tidak seimbang” kepada bantahan secara aman dan teratur adalah tidak perlu dan mencabul hak mereka untuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan berpersatuan.

“Penganjur telah menunjukkan pertimbangan teliti untuk keselamatan rakyat di Malaysia dan mengambil langkah-langkah mematuhi SOP dan telah bekerjasama dengan pihak polis,” kata mereka semalam.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Amnesty International Malaysia, Sisters in Islam, Justice for Sisters, Center for Independent Journalism dan KRYSS Network.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.