Ingkar SOP : 61 premis niaga,kilang,tapak bina diarah tutup

22

31 JULAI: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan 61 premis termasuk kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan ditutup kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan itu diambil selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,405 kilang, 15,908 premis perniagaan, 649 tapak pembinaan dan 170 asrama penempatan pekerja di seluruh negara, semalam.

Beliau berkata pihak berkuasa juga menahan 290 individu termasuk 219 dikompaun dan 71 orang lagi direman kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam.

“Seramai 52 pendatang tanpa izin turut ditahan dan sebuah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata seramai 881 individu tiba di tanah air semalam kini menjalani kuarantin wajib, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif mereka dikuarantin sejak 24 Julai lalu ialah 260,248 orang.

“Sejumlah 9,334 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.