Varian Delta lonjak kes positif, kes kematian di Asia Barat

20

30 JULAI : Penularan Varian Delta yang tercetus di India menjadi punca lonjakan kes COVID-19 di Asia Barat yang masih mencatat kadar vaksinasi rendah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),  sebanyak15 daripada 22 negara dari Maghribi hinggalah ke Pakistan didapati mengalami peningkatan kes positif ekoran varian tersebut yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.

Menurut WHO dalam satu kenyataan, varian Delta telah menyebabkan lonjakan kes dan kematian yang semakin banyak negara dalam rantau Mediterranean Timur.

“Kita sedang berdepan gelombang keempat penularan COVID-19 di seluruh rantau itu,” kata Pengarah Rantau Mediterranean Timur WHO, Ahmed al-Mandhari semalam.

Setakat ini, menurut WHO lagi, hanya 41 juta orang atau 5.5 peratus daripada jumlah penduduk rantau berkenaan sudah menerima vaksinasi lengkap.

Jangkitan meningkat sebanyak 55 peratus, manakala kematian pula bertambah 15 peratus pada bulan lalu berbanding bulan sebelumnya di mana lebih 310,000 kes dan 3,500 korban direkodkan setiap minggu.

Masalah kekurangan tangki oksigen dan katil unit rawatan rapi (ICU) yang kritikal, menambah lagi tekanan terhadap keupayaan sistem penjagaan kesihatan di rantau itu.

Berdasarkan penerbitan dalam jurnal Virological, baru-baru ini, jumlah virus ditemui hasil ujian pertama terhadap pesakit dijangkiti varian Delta, adalah 1,000 kali lebih tinggi berbanding ketika gelombang pertama COVID-19 pada 2020, sekali gus menyaksikan lonjakan besar kadar kebolehjangkitannya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.