Pengeluaran tunai segera bagi kad kredit Bank Rakyat

49

30 JULAI: Lebih 270,000 pelanggan Kad Kredit-i Bank Rakyat kini boleh membuat pengeluaran tunai segera sehingga 100 peratus daripada had pembiayaan.

Tawaran itu sempena Kempen Pengeluaran Tunai Kad Kredit-i Bank Rakyat yang bermula Ahad ini hingga 31 Oktober 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, berkata kempen tersebut menjadi antara alternatif bagi mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek pelanggan akibat kesan pandemik COVID-19.

“Inisiatif ini diharap dapat memanfaatkan lebih daripada 270,000 pelanggan Kad Kredit-i dalam menguruskan keperluan harian mereka.

SYED ABDUL AZIZ

“Kempen ini terbuka kepada semua pemegang kad utama dan tambahan kecuali Kad Kredit-i Korporat Bank Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Abdul Aziz berkata, kempen turut menawarkan kadar keuntungan istimewa sebanyak enam peratus setahun atau 0.5 peratus setiap bulan bagi transaksi pengeluaran tunai yang dilakukan dalam tempoh kempen berbanding dengan kadar keuntungan sedia ada iaitu 18 peratus setahun.

“Pengeluaran tunai melalui panggilan telefon mempunyai had pengeluaran minimum sebanyak RM500 dan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM20 untuk setiap pengeluaran.

“Dana tunai yang dikeluarkan akan dikreditkan ke Akaun Semasa-i/Akaun Simpanan-i (CASA) Bank Rakyat pelanggan dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Menerusi Kempen Pengeluaran Tunai Kad Kredit-i Bank Rakyat, pelanggan boleh membuat pengeluaran tunai di mana-mana ATM dan kaunter Bank Rakyat.

Selain itu, pelanggan juga boleh membuat pengeluaran tunai menerusi panggilan telefon dengan menghubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880.

Mengulas lanjut, Syed Abdul Aziz menjelaskan tiada had yang ditetapkan bagi jumah transaksi pengeluaran tunai yang boleh dilakukan oleh pemegang kad.

“Kad Kredit-i Bank Rakyat giat menawarkan pelbagai diskaun dan rebat pada waktu pandemik menerusi usaha sama dengan pelbagai jenama seperti Poplook, UMMA, So.lek Cosmetics, Mis Claire, The Batik Boutique, Emmer Zecna dan Polo Haus. Tawaran diskaun dan rebat ini diharapkan dapat meringankan perbelanjaan pengguna kad.

“Kad kredit kami memang terkenal dengan pelbagai ciri unik, antaranya tiada yuran tahunan, tiada kadar tambahan bagi transaksi luar negara yang membabitkan pertukaran wang asing dan perlindungan takaful secara percuma atas jumlah baki tertunggak,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.