MP BERSATU zahir sokongan penuh kepada Muhyiddin

69

30 JULAI: Semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berdiri teguh dan menzahirkan sokongan penuh tanpa berbelah bagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin negara.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata BERSATU juga menghargai dan berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen daripada Parti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah dan empat Ahli Parlimen Bebas kekal menyokong Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.

“BERSATU akan terus fokus dan komited untuk meneruskan agenda membela rakyat dan memulihkan ekonomi negara,”katanya dalam kenyataan.

Datuk Seri Faizal Azumu

“BERSATU juga menjunjung kasih  titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menyeru agar semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda memerangi Covid-19  dalam
sidang  khas Parlimen yang sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas lewat malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah belum memberi perkenan pembatalan semua Ordinan Darurat seperti kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan,  Seri Paduka Baginda mengesahkan bahawa kenyataan Menteri di Parlimen pada Isnin lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Istana Negara juga memaklumkan, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.