11 kes positif babitkan petugas Parlimen semalam

49

30 JULAI: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan 11 kes positif COVID-19 membabitkan Kompleks Parlimen, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu sembilan kes dikesan melalui kit ujian kendiri RTK Antigen air liur yang dilaksanakan petang semalam.

Katanya, pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan selepas terdapat dua kes positif yang dikesan di dalam bangunan berkenaan.

“Pada 29 Julai jam 12.30 tengah hari, Kementerian Kesihatan (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID- 19 yang hadir ke Parlimen.

“Kes pertama seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada Isnin hingga Rabu lalu dan dilaporkan positif COVID-19 semalam selepas melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selsema.

“Bagi kes kedua pula, dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham meminta semua yang hadir di bangunan Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, siasatan kes mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan kes positif yang dikesan dalam saringan petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari, sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan juga negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka, sebelum bertugas di Parlimen.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan, didapati kes dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

“KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva,” katanya.

Beliau berkata, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan digerakkan, bagi menjalankan saringan di Parlimen semalam yang tamat pada jam 8 malam.

“Seramai 1,183 individu sudah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag dan daripada jumlah yang disaring, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif COVID-19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh kes yang dikesan melalui RTK Ag air liur.

“Dua daripada 10 kes positif itu mengalami gejala ringan tetapi stabil dengan lapan kes tidak bergejala. Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan COVID-19 berkenaan,” katanya.

Ahli Parlimen menjalani ujian saringan COVID-19 di bangunan Parlimen semalam ekoran dua kes positif dikesan di kalangan petugas Parlimen.

Secara keseluruhan, Dr Noor Hisham berkata, 10 kes dikesan melalui kit kendiri dan satu menerusi RT PCR.

“Berikutan pengesanan kes positif COVID-19 ini, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya.

Berikutan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memaklumkan Sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan sehingga Isnin ini, berikutan terdapat dua kes positif COVID-19 yang dikesan di bangunan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.