Sultan Selangor titah percepat vaksinasi ajk masjid, surau

11

29 JULAI: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mempercepat proses vaksinasi COVID-19 kepada ahli jawatan kuasa masjid (ajk) dan surau.

Titah itu meliputi imam, bilal, siak dan jurunikah di seluruh negeri ini sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah.

“Ini khususnya bagi menunaikan solat Jumaat, bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Baginda berpandangan adalah penting untuk imam, bilal, siak serta jurunikah diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi,” kata Istana Bukit Kayangan dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Sharafuddin sebelum itu berkenan berangkat mengurniakan watikah pelantikan baharu kepada Mufti Selangor dan timbalannya di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Datuk Dr. Anhar Ophir kini secara rasminya dilantik sebagai Mufti Selangor berkuat kuasa sejak 21 Mei lalu.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Mufti Selangor sejak 2016 berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Feqh Wa Usuluh), Mumtaz dari The World Islamic Sciences And Education University (WISE), Jordan dan Ijazah Sarjana (Falsafah Islamiah), Mumtaz dari Universiti Kaherah, Mesir

Sejak 2007, anak kelahiran Kapar, Klang itu turut bertindak selaku Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Antara kertas kerja yang pernah dihasilkan beliau bertajuk Kepentingan Bermazhab Di Sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Miszairi Sitiris dilantik ke jawatan Timbalan Mufti Selangor.

Beliau berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah IRKH (Fiqh dan Usul Al-Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa (IIUM).

Dr. Miszairi yang bertugas sebagai pensyarah di IIUM sejak 1996 pernah menerbitkan artikel bertajuk Tuntutan Harta Sepencarian Dalam Kes Kematian di bawah Jurnal Undang-Undang Malaysia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.