Orang ramai diminta terus patuhi SOP

21

29 JULAI: Orang ramai diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mengingatkan masyarakat bahawa SOP MKN mengenai pergerakan dan larangan penganjuran apa-apa aktiviti sosial masih berkuat kuasa di negeri-negeri di bawah PPN Fasa 1 dan Fasa 2.

“Tiada sebarang pergerakan rentas negeri dan daerah dibolehkan kecuali bagi tujuan yang dibenarkan saja.

Polis meminta orang ramai terus mematuhi SOP kerana negara masih belum bebas daripada ancaman COVID-19.

“Dua orang saja wakil isi rumah dibenarkan keluar hanya untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat dan keperluan asas dalam radius tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Acryl Sani berkata, kebenaran maksimum tiga orang saja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan dalam radius tidak melebihi 10km dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tiada dalam radius berkenaan.

“Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

“Apa-apa aktiviti sosial yang boleh menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah tidak dibenarkan.

“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.