Kluster raya, rentas negeri jangkiti 100 individu

22

29 JULAI: Aktiviti ziarah musim perayaan, rentas negeri dan mengadakan majlis sosial antara kluster baharu yang sudah menjangkiti lebih 100 individu semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat 38 kluster baharu dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) merangkumi 18 kluster di tempat kerja, komuniti (14), kumpulan berisiko (tiga) dan satu di pusat tahanan.

Beliau berkata, terdapat tiga kluster berpunca daripada aktiviti ziarah iaitu Kluster Kampung Mantera, Kota Bharu di Kelantan yang sudah menjangkiti 24 individu.

“Kes ini membabitkan aktiviti ziarah ketika sambutan perayaan yang berpunca dari kes indeks seorang lelaki berusia 36 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada Selasa lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kes mula menunjukkan pada 23 Julai lalu dan nama kluster merujuk kepada lokaliti, di mana penularan kes berlaku iaitu di Kampung Mantera, Banggu, Kota Bharu. Sehingga kini, seramai 32 individu sudah disaring dan 24 daripadanya disahkan positif virus, termasuk 20 kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

NOOR HISHAM

Bagi kluster ziarah kedua, Dr Noor Hisham berkata, ia dikenali sebagai Kluster Dah Kampung Pokka di Padang Terap, Kedah membabitkan lelaki berusia 45 tahun selepas mengalami gejala sejak 20 Julai lalu.

“Sehingga kini, seramai 104 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu 24 kes dilaporkan positif, termasuk enam kes baharu hari ini.

“Kluster ketiga aktiviti ziarah dikenali Kluster Jalan Denai Enam di Johor Bahru yang kini sudah menjangkiti 25 individu,” katanya.

Mengenai aktiviti rentas negeri, Dr Noor Hisham berkata, terdapat dua kluster dikesan pihaknya iaitu Kluster Kampung Chenok Kadok serta Kluster Kampung Wakaf Stan dan kedua-duanya dikesan di Kelantan.

“Kes ini mempunyai sejarah merentas negeri dari Putrajaya ke Kelantan pada 17 hingga 21 Julai lalu atas urusan menziarah keluarga dan sehingga kini sudah menjangkiti 13 individu.

“Kluster Kampung Wakaf Stan pula membabitkan aktiviti rentas negeri dari Kedah ke Kelantan pada 17 hingga 23 Julai lalu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 17,170 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kini meningkat kepada 1,078,646 kes.

Katanya, semua negeri mencatatkan kes baharu semalam dan empat negeri mencatatkan pertambahan empat angka.

Negeri terbabit ialah Selangor 7,163 kes, Kuala Lumpur (2,138), Kedah (1,212) serta Johor (1,054).

Selain itu, turut mencatatkan pertambahan kes semalam ialah Negeri Sembilan dengan 884 kes baharu, Sabah (776), Pahang (638), Kelantan (615), Perak (596), Sarawak (582) dan Pulau Pinang (554).

“Bagi Terengganu, sebanyak 437 kes dilaporkan, Melaka (416), Putrajaya (84), Labuan (11) dan Perlis (10),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.