Agong belum perkenan, kenyataan Takiyuddin menggelirukan Dewan

153

29 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah belum memberi perkenan pembatalan semua Ordinan Darurat seperti kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan,  Seri Paduka Baginda mengesahkan bahawa kenyataan Menteri di Parlimen pada Isnin lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Istana Negara juga memaklumkan, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan


“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut Ahmad Fadil, Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai  lalu tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan itu  bercanggah serta mengelirukan.

Katanya, Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Al Sultan Abdullah  menzahirkan penghargaan kepada pihak Kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula Isnin lalu

“Ianya adalah sejajar dengan saranan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang telah diadakan pada 16 Jun, 2021 supaya persidangan Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya tempoh Darurat,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.