Lebih 110 Ahli Parlimen Masih Bersama Kerajaan-TPM

26

29 JULAI : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa lebih 110 Ahli Parlimen masih bersama dan memberikan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Beliau yang juga merupakan Ketua Whip Kerajaan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

“Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik COVID-19.

“Justeru, saya berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Terdahulu, menerusi kenyataan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan pembatalan semua Ordinan Darurat seperti kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan,  Seri Paduka Baginda mengesahkan bahawa kenyataan Menteri di Parlimen pada Isnin lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.