Tempah vaksin dos ketiga, kanak-kanak

109

28 JULAI: Malaysia sudah memulakan rundingan dengan beberapa syarikat pengeluar vaksin terutama Pfizer, sejak 2 minggu lalu bagi memuktamadkan perolehan dos ketiga (booster) dan vaksin untuk golongan kanak-kanak pada 2022.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata langkah berkenaan perlu berikutan banyak negara sudah mula membuat tempahan dos ketiga suntikan pelalian atau ‘booster’ dan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak.

Bagaimanapun, Khairy berkata pihaknya masih lagi menunggu penilaian kumpulan pakar diketuai oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr P Kalaiarasu yang akan memberi syor sama ada kerajaan perlu memberikan dos booster kepada penerima vaksin COVID-19 atau tidak.

“Perkara ini akan dibentangkan bukan hanya dari segi keperluan dos booster berdasar pengalaman negara lain tetapi sama ada kita boleh berikan jenis vaksin berbeza untuk dos ketiga berkenaan daripada vaksin asal diterima.

KHAIRY

“Ini berikutan ada beberapa negara yang mengamalkan campuran jenis vaksin seperti di Korea Selatan dan Jerman kerana terdapat gangguan bekalan vaksin.

“Justeru, kita kena dapatkan data terkini dunia dan keputusan ujian klinikal sama ada kaedah campuran jenis vaksin COVID-19 berkenaan selamat. Keduanya, kita mahu lihat sama ada mereka yang menerima dua dos vaksin sama dapat menerima dos booster dari jenis lain,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan penerangan mengenai Program Vaksinasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Khairy berkata Malaysia mengambil keputusan berhemah dalam perolehan vaksin dengan melihat data interim dan membuat tempahan selepas mengambil kira faktor keberkesanan dan keselamatan ubat pelalian berkenaan.

Beliau mendedahkan selain Malaysia negara seperti Australia, Korea Selatan dan Jepun telah menerima bekalan vaksin Pfizer lebih kurang pada masa sama.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata ini menunjukkan bahawa kerajaan membuat penilaian sama dengan negara maju di rantau Asia Pasifik.

“Singapura mendapat vaksin lebih awal kerana pelaburan dibuat oleh syarikat Temasek milik kerajaan republik berkenaan yang sudah membuat pelaburan sebanyak AS$250 juta dolar dalam BioNtech pada Jun 2020 iaitu syarikat usahasama dengan Pfizer yang membangunkan vaksin Comirnaty Pfizer.

“Jadi saya andaikan jika Temasek menjadi salah satu pelabur di syarikat terbabit maka republik terbabit akan didahulukan dari segi penghantaran bekalan vaksin keluaran Pfizer BioNtech.

“Indonesia pula memulakan vaksinasi dengan menggunakan vaksin Sinovac kerana republik berkenaan menjadi tapak ujian klinikal fasa 3.

“Berikutan itu pengeluar vaksin berkenaan akan memberikan keutamaan kepada Indonesia yang menjadi tapak ujian klinik bagi vaksin berkenaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.