PKPD lagi di beberapa lokaliti di Sabah, Kelantan, Pahang

21

28 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 31 lokaliti di Sabah dan beberapa lokaliti di Kelantan dan Pahang bermula 30 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata PKPD selama dua minggu itu perlu dilaksanakan selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai risiko serta trend jangkitan COVID-19.

“Di Sabah lokaliti dikenakan PKPD adalah di daerah Tuaran, Sandakan, Penampang, Tawau, Kinabatangan, Tenom, Putatan, Kota Marudu, Kudat dan Papar.

“Sementara itu di lokaliti di Kelantan ialah di enam kampung Orang Asli di Pos Brooke, Gua Musang iaitu Kampung Cekau, Kampung Jedip WCT, Kampung Seng Sang, Kampung Lojing, Kampung Sendrop dan Kampung Penangau.

“Lokaliti di Pahang pula membabitkan Taman Amalina Lestari, Mukim Gali, Raub dan Ladang Bukit Berembun, Mukim Keratong, Rompin,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini

Katanya, empat lokaliti di Sabah pula akan ditamatkan PKPD seperti yang dijadualkan iaitu pada 29 Julai ini iaitu di Kampung Lubak, Beaufort; Blok 2, Blok 6 & Blok 9, PPR Taman Mesra, Sandakan; Kampung Melamam, Sipitang dan Kampung Landung Ayang, Kudat.

Tambahnya, semua prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, PKPD yang perlu dilanjutkan ialah di Blok Angsana dan Blok Sumboi-sumboi, Kg Seberang Benoni, Papar sehingga 12 Ogos ini selepas penilaian kesihatan dilakukan KKM.

“Semalam juga, seramai 330 individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP manakala 25 lagi direman akibat ingkar SOP ditetapkan.

“Menerusi operasi pematuhan, sebanyak 52 premis meliputi kilang (10), premis perniagaan (39) dan tapak pembinaan (3) turut diarahkan tutup serta-merta,” katanya.

Sementara itu, menerusi Op Benteng, pihak berkuasa berjaya membuat tangkapan terhadap 17 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas 25 buah kenderaan darat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.