Percepat proses vaksinasi di MySejahtera

89

28 JULAI: Kerajaan perlu mempercepatkan proses vaksinasi untuk rakyat Malaysia yang sudah lama mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Ahli Parlimen PAS-Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata tindakan itu perlu kerana ramai rakyat tempatan mengeluh kerana masih belum menerima sebarang janji temu biar pun sudah lama mendaftarkan diri sebagai penerima vaskin.

Shaharizukirnain berkata beliau juga berharap kerajaan dapat menerusikan program ‘out reach’ bagi menggalakkan rakyat terutama penduduk di luar bandar dan kampung mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

SHAHARIZUKIRNAIN

“Kempen kesedaran mengenai vaksinasi juga perlu digerakkan menerusi media cetak, media elektronik dan media sosial bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dahyah disebarkan oleh golongan antivaksin.

“Kita mesti menganjurkan program seperti Bicara Naratif di RTM 1 membincang dan memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan vaksinasi, dengan menampilkan ahli panel bukan hanya dalam kalangan pakar kesihatan malah golongan agamawan,” katanya ketika berucap di sesi penerangan mengenai program PICK oleh Khairy di Mesyuarat Khas Parlimen, hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen BN-Jempol, Datuk Salim Sharif pula meminta kerajaan mengatasi masalah karenah birokrasi dalam kalangan pegawai yang mengetuai Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara.

Beliau juga berharap kerajaan dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada remaja terutama pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Salim berkata langkah berkenaan perlu kerana mereka juga adalah golongan berisiko untuk dijangkiti wabak COVID-19 kerana terpaksa mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka.

“Jadi saya ingin bertanya kepada kementerian berkenaan apakah jenis vaksin yang akan diberikan kepada golongan berusia 17 tahun ke bawah ini.

“Adakah kerajaan akan menggunakan vaksin sedia ada atau menggunakan vaksin khas untuk pelajar sekolah di bawah usia 17 tahun ke bawah menjelang pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada September depan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.