Malaysia catat rekod tertinggi pemberian dos semalam

30

28 JULAI : Proses vaksinasi di Malaysia kini mencecah 38.2 peratus mendahului  negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia sejak beberapa hari lalu.

Pemberian dos pertama Malaysia juga  mendahului purata pemberian dos pertama di Asia (27.5 peratus) dan dunia (27.5 peratus).

Semalam, Malaysia mencatatkan pemberian dos vaksin sebanyak 553,871 suntikan, sekaligus menjadi rekod tertinggi pemberian dos sejak bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melaporkan, daripada 553,871 dos yang disuntik semalam, 238,518 dos atau 43 peratus adalah kepada penerima di Lembah Klang.

Hasil pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang sejak 21 Julai lalu, sejumlah 82.9 peratus populasi dewasa dalam kawasan berkenaan sudah menerima dos pertama, dan 29.7 peratus menerima dos kedua.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi hantaran di Twitter miliknya,  jumlah keseluruhan vaksin COVID-19  yang sudah diberikan di negara ini kepada 18,393,347 dos, merangkumi lebih 12.4 juta dos pertama dan 5.9 juta dos kedua.

“Jumlah pemberian vaksin COVID-19 sehingga 27 Julai ialah 18,393,347 dos, dengan 553,871 dos semalam, iaitu yang tertinggi setakat ini.

“Jumlah individu yang menerima dos pertama ialah 12,487,441 orang, manakala 5,905,906 orang telah menerima dos kedua,” katanya.

Secara purata mengikut negeri dan wilayah, populasi dewasa yang menerima dos lengkap vaksin COVID-19 didahului Labuan dengan 77.7 peratus, disusuli Sarawak (58.6 peratus), Perlis (39.1 peratus), Lembah Klang (29.7 peratus), Negeri Sembilan (26.7 peratus) dan Melaka (23.9 peratus).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.