Lima pekebun durian tak mengaku ceroboh HSK Batu Talam

12

28 JULAI: Lima pekebun durian Musang King mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahya.

Empat individu iaitu Ka Nir, 32, (Indonesia); Ronny Rusly, 46, (Indonesia); Chiah Kin Seng, 54, dan Lavin Chieh Zhe Yueng, 21, didakwa memasuki hutan simpan pada 3 Julai lalu manakala Wong Than Fook, 49, didakwa masuk ke kawasan sama pada 8 Julai lalu.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didapati berada di dalam kompartmen 175 HSK Batu Talam dan memasuki kawasan berkenaan iaitu hutan tertutup tanpa sebarang permit masuk yang sah.

Disebabkan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai oleh negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 47 (4) Enakmen yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Afidatul Azwa Kamarulanuar manakala tertuduh diwakili peguam Samantha Chong Yin Xin dan Chong Kar Yan.

Terdahulu, Afidatul Azwa memohon mahkamah menawarkan jaminan RM8,000 kepada tiga tertuduh yang merupakan warganegara Malaysia dan tidak membenarkan jaminan kepada dua warganegara Indonesia iaitu Ka Nir dan Ronny Rusly.

Bagaimanapun, Samantha memohon jumlah jaminan dikurangkan dan jaminan turut diberikan kepada warga Indonesia memandangkan kesemua tertuduh mempunyai komitmen dan telah dibebaskan sebelum ini dengan jaminan polis.

Samantha berkata, kes itu melibatkan Seksyen 47 (1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 dan bukannya Akta Imigresen malah dua warga Indonesia itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta permit kerja.

Ahmad Faizadh menawarkan jaminan RM3,000 kepada empat individu iaitu Ka Nir, Ronny Rusly, Chiah Kin Seng dan Wong Than Fook manakala Lavin Chieh Zhe Yueng ditawarkan jaminan RM2,000.

Mahkamah menetapkan 15 September depan bagi sebutan semula kes dan kesemua tertuduh dibebaskan selepas membayar jaminan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.