KJ jamin semua guru divaksin menjelang 1 September

55

28 JULAI: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, memberi jaminan bahawa semua warga pendidikan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, sebelum pembukaan semula sesi persekolahan mulai 1 September depan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sehingga 27 Julai lalu, seramai 303,682 guru (73.5 peratus), 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Beliau berkata sambutan dalam kalangan guru kelas peperiksaan iaitu Tingkat Lima dan Enam amat menggalakkan dengan seramai 80,717 guru (90 peratus) sudah divaksin.

“Bagi sekolah swasta, seramai 12,894 guru (66.8 peratus), 4,367 guru peperiksaan (58 peratus) dan 3,026 kakitangan sokongan (54 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

“Justeru, saya dan Menteri Pendidikan (Datuk Dr Mohd Radzi Jidin) memberi jaminan, semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula,” ketika menggulung sesi perbahasan mengenai Program Vaksinasi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

KHAIRY

Dalam pada itu, Khairy berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan warga sekolah.

“Ini termasuklah di kalangan guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan kontrak yang terdiri daripada pegawai keselamatan, pekerja pembersihan, operator kantin dan pemandu bas serta van sekolah yang belum mendapat janji temu lagi dapat segera dikenal pasti untuk membuat penjadualan janji temu.

“Bagaimanapun sebahagian kecil guru yang menolak vaksin dan beliau meminta pihak pentadbir sekolah membuat capaian kepada golongan itu supaya jangkitan COVID-19 tidak berlaku selepas sekolah dibuka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy menjelaskan semua jenis vaksin adalah baik dan berkesan dalam mencegah jangkitan varian Delta COVID-19.

Khairy berkata, vaksin AstraZeneca, Pfizer dan Sinovac yang diberikan kepada rakyat Malaysia setakat ini telah terbukti berkesan terhadap varian baharu itu.

“Sehingga kini vaksin Pfizer dan AstraZeneca, sudah pun menunjukkan, melalui penerbitan dalam jurnal kesihatan bahawa walaupun ada sedikit penurunan dari segi keberkesanannya terhadap varian Delta, ia masih lagi berkesan.

“Vaksin Sinovac telah pun kita terima maklumat daripada pengeluar sendiri yang mengatakan bahawa Sinovac juga memberi tahap perlindungan yang baik terhadap varian Delta.

“Daripada liputan akhbar yang kita lihat, sebab sebahagian besar di Indonesia, barisan hadapan kesihatan mengambil Sinovac, di sini Pfizer.

“Walaupun berlaku sedikit kematian di sana tetapi jumlah yang terdedah kepada virus yang terpaksa masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia adalah kadar yang rendah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.