Kadar vaksinasi Malaysia antara terpantas di dunia

102

28 JULAI : Langkah kerajaan mempelbagaikan portfolio vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mempertingkatkan kadar vaksinasi negara menjadikan Malaysia antara terpantas di dunia.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kadar vaksinasi negara adalah tinggi berbanding negara-negara maju di seluruh dunia dengan jumlah pemberian vaksin tertinggi yang direkodkan adalah 553,871 dos suntikan, semalam.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 356,112 orang adalah penerima dos pertama manakala 197,759 orang lagi adalah penerima dos kedua. 

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan menerusi laman web Our World in Data yang dikendalikan oleh University of Oxford, kadar vaksinasi per kapita di Malaysia kini adalah antara yang terpantas di seluruh dunia. 

“Peratusan penduduk Malaysia yang telah menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos juga pada semalam mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand,” katanya ketika memberi penerangan berkenaan Program Vaksinasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yang juga merupakan Menteri, Sains dan Teknologi memaklumkan negara juga semalam menyaksikan pemberian vaksin harian mencapai angka melebihi 500 ribu suntikan bagi dua hari berturut-turut. 

“Pada Isnin yang lalu, sebanyak 521,923 dos vaksin telah diberikan. Ini menjadikan jumlah bagi pemberian vaksin untuk dua hari ini adalah sebanyak 1,075,794 dos dengan penambahan penerima dos pertama sebanyak dua peratus populasi Malaysia atau bersamaan 692,733 orang. 

“Sehingga semalam, purata yang telah dicapai sepanjang bulan Julai adalah sebanyak 378 ribu dos 21 sehari. Ini bermakna, telah berlaku peningkatan sebanyak 124% apabila dibandingkan kadar purata antara bulan Jun dan purata bulan Julai sehingga hari semalam. 

Khairy Jamaluddin

“Sebagai perbandingan peningkatan kadar vaksinasi, pemberian vaksinasi semenjak permulaan PICK pada Februari sehingga bulan Jun yang lalu adalah sekitar 8 juta dos. Tetapi untuk bulan Julai ini sahaja, sehingga ke hari ini, pemberian vaksin telah melebihi 10 juta dos,” katanya lagi.

Sementara itu, Khairy memaklumkan peruntukan keseluruhan yang disediakan bagi pelaksanaan PICK adalah sebanyak RM5.8 bilion dan aripada jumlah ini, sebanyak RM4.8 bilion disalurkan kepada Kementerian Kesihatan manakala RM1 bilion disalurkan kepada MOSTI.

Mengulas lanjut, beliau turut mengesahkan bahawa pada persidangan  7 Disember tahun lalu, beliau telah memaklumkan bahawa Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM3.0 bilion bagi tujuan perolehan vaksin sahaja.

“Seterusnya, pada 18 Januari yang lalu, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan sehinga RM5 bilion bagi pelaksanaan PICK yang ketika itu dijangka bermula pada bulan Mac 2021 dengan penambahan jumlah dos vaksin yang mencukupi bagi 120% populasi negara. 

“Manakala pada 28 Jun yang lalu, Perdana Menteri menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sekali lagi mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta dengan jumlah dos vaksin ditingkatkan kepada 130% populasi Malaysia bagi tujuan stok penimbal serta mempercepatkan pelaksanaan PICK. 

“Peruntukan RM800 juta ini juga adalah termasuk tambahan bayaran 26 elaun daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan bukan kesihatan yang turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV selain kadar pembayaran elaun khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 ringgit kepada RM600, katanya.  – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.