Penguatkuasa Kesihatan di Parlimen pastikan SOP dipatuhi

28

28 JULAI: Semua Ahli Parlimen diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk sentiasa memakai pelitup muka sepanjang Mesyuarat Khas Parlimen berlangsung.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata pemakaian dua pelitup muka amat digalakkan memandang virus COVID-19 merebak dengan singkat terutama varian Delta.

“Justeru, suka saya ingatkan bahawa ahli Yang Berhormat supaya menarik penghadang lutsinar yang dipasang semasa duduk dalam dewan supaya ada jarak pemisah antara satu sama lain dan tiada kontak rapat.

“Dimaklumkan bahawa pegawai penguatkuasa berada di sekitar Kompleks Parlimen sepanjang mesyuarat khas ini berlangsung.

“Berikutan itu, semua Ahli Parlimen diminta mematuhi SOP pelaksanaan persidangan Parlimen diadakan,” katanya dalam ucapan pemasyhuran sebelum mempengerusikan Mesyuarat Khas Parlimen sebentar tadi.

Datuk Rashid Hasnon

Media semalam melaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikompaun kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak memakai pelitup muka di Parlimen, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati Tajuddin telah menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat.

“Pada hari yang sama, jam 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama dengan seorang individu lain di ruang legar Parlimen.

“Atas pelanggaran SOP tersebut maka satu notis kompaun telah dikeluarkan terhadap beliau pada hari ini, jam 1 petang, nilai kompaun akan diputuskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya melalui kenyataan semalam.

Terdahulu, semalam, tular satu mesej serta gambar yang dimuat naik di Twitter yang memaparkan ahli Parlimen berkenaan telah melanggar SOP PKP dan rata-rata netizen mengecam sikap Tajuddin itu.

Dalam pada itu, Mohd Rashid juga memaklumkan bahawa pihak Parlimen turut meletakkan kertas maklumat menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan memberikan penerangan berkenaan pelaksanaan darurat pada Isnin ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.