PRN Sarawak Tertakluk Pada Perkenan Agong

51

27 JULAI: Sarawak akan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada akan meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau tidak, sebaik sahaja Proklamasi Darurat ditamatkan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun darurat berkemungkinan tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos ekoran keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi pelanjutan darurat, namun terdapat tiga perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Pertama ialah situasi COVID-19, sama ada situasi kita bertambah baik berdasarkan pada statistik. Kedua ialah sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) dalam situasi berkenaan dan apa jenis SOP.

“Ketiga, apa yang penting bagi kita ialah kesihatan. Kita tidak mahu ia (PRN) menjadi punca (penularan COVID-19 yang bertambah teruk) seperti yang terjadi di Sabah,” katanya kepada media selepas merasmikan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Orang Ulu (OUCCI) di Kuching, Sarawak, hari ini. 

ABANG JOHARI

Dalam pada itu, Abang Johari memakluman, Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang diketuai beliau sebagai kerajaan Sarawak sedia ada, turut memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk bergerak ke hadapan bagi terus memimpin negeri itu.

Beliau berkata, kini semuanya bergantung kepada agensi-agensi strategik seperti Kementerian Kesihatan dan SPR untuk menilai semua faktor tersebut.

“Jadi, tunggu sahaja apa yang akan berlaku dalam satu atau dua minggu ini. Jika darurat ditamatkan pada 1 Ogos, dalam masa 60 hari pilihan raya perlu diadakan tetapi kita mesti memastikan bahawa keadaan adalah kondusif. 

“Dalam kata lain, ada perubahan yang baik dalam situasi COVID-19. Orang pun takut nak turun undi,” katanya.

Ditanya tentang status Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata, di bawah darurat ia masih berfungsi seperti yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita akan lihat apa yang akan berlaku antara sekarang hingga 1 Ogos kerana kuasa adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan darurat atau tidak,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.