Pengunaan Ivermectin diumum September depan

130

27 JULAI: Kementerian Kesihatan akan mengumumkan keputusan kajian penggunaan ubat Ivermectin untuk merawat pesakit COVID-19 pada September depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata setakat ini seramai 200 pesakit COVID-19 menyertai kajian terbabit membabitkan 18 hospital kerajaan di seluruh negara.

“Kajian terbabit dikenali sebagai ‘Ivermectin Treatment Efficacy on COVID-19 High Risk Patient’ sedang dijalankan di beberapa hospital kerajaan.

“Berdasarkan perancangan awal, seramai 500 pesakit COVID-19 berisiko tinggi dan bergejala ringan akan terbabit dalam kajian ini namun setakat ini, kira-kira 200 pesakit sudah menyertai kajian berkenaan,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

ADHAM

Namun, kenyataan Dr Adham berhubung ubat terbabit mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat pembangkang yang berterusan menyerangnya dan mendesak supaya Menteri Kesihatan menggunakan kuasanya meluluskan penggunaan ubat itu.

Ahli Parlimen PH-Shah Alam, Khalid Abd Samad mempersoalkan Dr Adham sanggup bertanggungjawab di atas kematian lebih ramai pesakit COVID kerana enggan meluluskan penggunaan ubat terbabit.

Selain itu Ahli Parlimen PH-Sungai Buloh, R Sivarasa pula meminta Dr Adham membuat keputusan segera supaya penggunaan ubat itu diluluskan walaupun kajian sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, Dr Adham menegaskan KKM hanya akan mengumumkan keputusan muktamad selepas kajian terperinci mengenainya selesai pada September ini

“Saya membuat keputusan kita tunggu sehingga peroleh keputusan kajian ‘randomised control trial’ bulan September ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menutup hospital medan di Labuan, untuk dipindahkan ke Melaka dalam masa terdekat bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di negeri berkenaan.

“Kita faham keperluan Yang Berhormat. Sebab itu saya nak maklumkan dan menjelaskan bahawa kita sudah membina 10 unit ICU Modular dan ia pun sudah beroperasi.

“Namun berikutan penutupan hospital medan di Labuan susulan penurunan kes dan peningkatan vaksinasi, kita akan membawa hospital medan terbabit ke Melaka,” katanya ketika menjawab celahan Ahli Parlimen PH-Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.