Pemaju Perumahan dibenar beroperasi di bawah Fasa 1dan 2 PPN

52

27 JULAI : Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu memutuskan sektor Pemajuan Perumahan kini dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa serta merta.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran beroperasi itu adalah terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif dan sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Menurut kenyataan KPKT, pada Fasa 1, aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikan kosong (vacant possession) dan kunci rumah, kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period).

“Ini termasuk kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kontraktor G1 hingga G4.

“Sementara itu, di bawah Fasa 2, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, ejen jualan, galeri jualan, unit pameran dan unit hartanah ‘subsale’,” jelas kenyataan itu.

Kata KPKT lagi, kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini Sektor Pemajuan Perumahan yang boleh dimuat turun di laman sesawang KPKT di https://www.kpkt.gov.my.

Jelas kenyataan itu lagi,  SOP pembinaan dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) ini juga boleh dimuat turun di www.cidb.gov.my dan SOP Am Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) di www.mkn.gov.my bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pada masa sama, KPKT juga memaklumkan pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4493/4494.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.