KKM mohon peruntukan tambahan RM100 juta rawat kes COVID-19

38

27 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) memohon kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM100 juta bagi tujuan penyumberluaran untuk meningkatkan kapasiti hospital awam merawat kes COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata permohonan itu dibuat berikutan peningkatan kes positif pandemik ketika ini.

“Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta lagi kepada KKM bagi tujuan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan ke hospital swasta dengan memberikan keutamaan kepada kes di Lembah Klang.

“Berikutan peningkatan kes pada masa kini, KKM memohon peruntukan tambahan RM100 juta lagi bagi penyumberluaran untuk meningkatkan kapasiti,” katanya pada sesi penerangan mengenai ‘Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 sempena  Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata KKM juga memperuntukan RM56 juta untuk penyumberluaran pesakit kepada hospital swasta bagi mengurangkan masa menunggu pesakit yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal (urgent/semi-urgent) seperti perawatan jantung dan kanser pada tahun 2020.

Beliau berkata penyumberluaran (outsourcing) juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kapasiti hospital-hospital KKM bagi merawat pesakit COVID-19.

Katanya, kerajaan juga memperuntukan RM450 juta bagi melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA +) kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan sistem kesihatan awam melibatkan hospital seliaan KKM, Hospital Pengajar, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPPK UKM) dan Hospital Medan ATM.

“Sebanyak RM350 juta disediakan untuk Hospital di bawah KKM, RM80 juta bagi Hospital Pengajar dan RM20 juta bagi Hospital Medan ATM.

Dr Adham memaklumkan sehingga kini, terdapat 221 buah hospital di seluruh negara yang dikhususkan bagi rawatan pesakit COVID-19.

“Sebahagian peruntukan yang disediakan kepada KKM juga turut digunakan membiayai perolehan  bekalan ubat, reagen, consumables dan peralatan perubatan iaitu sebanyak RM30 juta untuk HPKK, UKM dan RM20 juta untuk Hospital Pengajar UPM (HPUPM),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham memaklumkan sehingga kini, terdapat 221 buah hospital di seluruh negara yang dikhususkan bagi rawatan pesakit COVID-19 iaitu 104 daripada 146 hospital KKM, 6 hospital universiti, 112 hospital swasta dan sebuah hospital Angkatan Tentera.

Beliau berkata sebanyak 11 hospital KKM adalah berstatus full COVID-19, dan selebihnya berstatus hibrid yang turut merawat pesakit bukan COVID-19.

“Sehingga kini, jumlah katil bukan ICU bagi kesemua 221 buah hospital di seluruh negara adalah 15,090 katil (awam) dan 1,288 (swasta) iaitu peningkatan sebanyak 373% berbanding 4,395 katil pada 30 Mac 2020, dan jumlah katil ICU adalah sebanyak 1,405 (awam) dan 128 (swasta) iaitu peningkatan sebanyak 485% berbanding 316 katil ICU pada 30 Mac 2020.

“Bagi meningkatkan kapasiti katil merawat COVID-19 di hospital awam seperti yang dinyatakan, pengubahsuaian ruangan tertentu (repurpose area) di dalam dan di luar bangunan hospital untuk dijadikan wad dan ICU sementara telah dilaksanakan termasuk pembinaan Hospital Medan, ICU Medan, Modular ICU dan penggunaan ICU di hospital swasta.

“Setakat ini, 3 Modular ICU telah disediakan dan  beroperasi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kepala Batas dan Hospital Melaka. Bagi menampung peningkatan kes COVID-19 khususnya kategori 4 dan 5, KKM telah menambah 5 lagi Modular ICU di beberapa hospital yang mempunyai kes yang tinggi iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Tambahan), Hospital Selayang, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Tawau dan Hospital Sibu,” katanya.

Dr. Adham berkata biarpun kes positif Covid-19 agak tinggi, tetapi bilangan kes yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5 adalah kecil banding dengan keseluruhan kes.

“Contohnya semalam 26 Julai, jumlah kes harian 14,516 kes, kes kategori 3, 4 dan 5 sekitar 2.5 peratus,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.